Panduan dan Contoh Ringkasan PMR

Mei 7, 2009

write

Kertas Dua : Bahagian A

PENILAIAN MENENGAH RENDAH

BAHASA MELAYU

Kod 02/02

BAHAGIAN A (i)

RINGKASAN

Nota:

–  Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendak soalan supaya menjadi

tidak melebihi 80 patah perkataan.

–  Contoh:

o Tulis sebuah ringkasan tentang masalah penjualan buku-buku dalam bahasa Melayu.

o Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan banjir kilat di ibu kota.

o Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

–  Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.

–  Sebanyak 40 minit diperuntukan untuk menjawab Bahagian A(i) dan A(ii).

–  Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.

Teknik Meringkaskan Petikan:

–    Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping memastikan jumlah perkataan yang

dikehendaki.

–    Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut.

–    Semasa membaca petikan, garisi perkataan yang menggambarkan isi yang dikehendaki oleh soalan.

–    Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.

–    Huraian isi dan contoh-contoh perlu ditinggalkan.

–    Calon digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataan tertentu atau istilah lain yang      lebih sesuai.

–    Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika terdapat kesalahan ejaan atau     tatabahasa.

–    Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah); manakala markah maksimum untuk     bahasa ialah 10 markah (bergantung pada persembahan bahasa pelajar).

–    Tulis ayat-ayat baru dalam satu perenggan sahaja.

–    Salin hasil ringkasan dalam kertas jawapan dengan tulisan yang kemas. Kemudian, tulis jumlah perkataan di

bahagian kanak jawapan.

INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan ubah kesemua perkataan yang

terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang maksudnya akan terpesong.

Contoh Soalan:

Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.

Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.

Contoh Jawapan:

Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan bekerja setiap ahli kumpulan.

BAHAGIAN A (ii)

PEMAHAMAN

Nota:

–    Tiga soalan akan dikemukakan.

–    Soalan (i) dan Soalan (ii) lazimnya berkaitan dengan isis petikan. Sila rujuk petikan untuk mendapatkan

jawapan.

–    Soalan (iii) merupakan soalan terbuka yang memerlukan kemahiran berfikir murid. Jawapan perlu

munasabah.

–    Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.

Teknik Menjawab Soalan Pemahaman

1.    Calon perlu memahami kehendak soalan yang dikemukakan dan jumlah markah yang ditetapkan bagi

setiap soalan.

  1. Soalan (i) Soalan tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga peribahasa yang terdapat dalam

petikan dan 2 markah akan diberi.

  1. Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi dengan perkataan anda

sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud penggunaannya dalam petikan.

  1. Soalan (ii) adalah soalan  pemahaman berdasarkan petikan dan markah yang diberi ialah 4.
  2. Oleh sebab soalan ini berdasarkan petikan, pelajar mestilah mencari isi jawapannya dalam petikan

tersebut.

  1. Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab ringkasan, pelajar sekurang-

kurangnya mengubah satu atau dua perkataan.

  1. Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih daripada satu isi (2, 3

atau 4 isi jika ada dalam petikan).

  1. Soalan (iii) merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan sebagai tersirat.
  2. Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan pendapat sendiri.

Contoh Soalan  dan Jawapan (Berdasarkan petikan di atas)

(i)             Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?

Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud suatu cara yang sering dilakukan untuk menambahkan pengetahuan seseorang.

(ii)            Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?

Berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu, mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tanparan kepada cabaran pengetahuan ahli kumpulan yang lain.

(iii)           Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang kebaikan belajar secara berkumpulan?

Guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam ingatan. Pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentng cara belajar secara berkumpulan yang efisien. Selain itu, murid yang telah berjaya menggunakan akedah ini dijadikan murid contoh. Di samping itu, pihak kaunselor hendaklah memberi ceramah motivasi diri dan pengurusan diri untuk menjadi murid yang cemerlang.

Advertisements

Virus Selsema Babi atau Virus H1N1

Mei 7, 2009

Dunia digemparkan lagi dengan kehadiran satu lagi virus terbaru iaitu Virus H1N1 atau lebih dikenali dengan Virus Babi. Kalau kita sebut menggunakan nama Virus H1N1, ada sebilangan daripada kita tidak mengetahuinya, tapi semua orang pasti tahu Virus Babi.  Sebenarnya ia adalah sama.

Apa itu Virus H1N1 atau Virus Selsema Babi(Swine Flu)?

imej-virus-babi1 (Imej Virus Babi)

Selesema babi merujuk kepada influenza (demam selesema) yang disebabkan oleh mana-mana virus dalam keluarga Orthomyxoviridae, berasal dari wabak yang menjangkiti populasibabi . Pada babi, wabak ini sejenis penyakit berjangkit yang mengganggu sistem pernafasan babi dan berpunca daripada salah satu jenis virus selesema. Jenis virus ini dikenali sebagai virus influenza babi (swine influenza virus atau SIV). Kesemua jenis SIV yang diketahui dikelaskan sebagai virus influenza A  (biasa) atau virus influenza C (jarang). Sementara virus influenza B tidak pernah dilaporkan wujud pada babi. Kesemua tiga kled,  virus influenza A, B, dan C, boleh menjadi wabak pada manusia.

Bagaimana pula dengan tanda-tanda dan simptomnya?


Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease  Control and Prevention – CDC) di Amerika Syarikat, simptom selesema babi pada manusia menyerupai dengan influenza. Simptom ini termasuk demam, batuk, sakit kerongkong, sengal tubuh, sakit kepala, seram sejuk dan kelesuan. Beberapa pesakit lain turut melapurkan cirit-birit dan muntah.Dalam mendiagnosis simptom wabak ini tidak hanya perlu melihat kepada tanda atau simptom yang khusus bagi selesema babi tetapi juga sejarah terkini individu. Sebagai contoh, semasa wabak selesema babi 2009 di Amerika Syarikat, CDC menasihatkan doktor untuk “menjangka jangkitan influenza babi pada pesakit yang didiagnosis mempunyai penyakit pernafasan akut sama ada mempunyai hubungan dengan orang yang disahkan mengidap selesema babi, atau berada di dalam lima negeri Amerika Syarikat yang melaporkan kes selesema babi atau berada di Mexico dalam tempoh 7 hari sebelum permulaan penyakit mereka.” Diagnosis bagi pengesahan selesema babi memerlukan ujian makmal bagi contoh pernafasan (calitan hidung atau tekak mudah).

Selesema Babi adalah penyakit berbahaya kerana dibawa virus dan mudah berjangkit kepada orang ramai. Dalam tubuh babi terdapat tiga virus selesema A iaitu subjenis (H1N1, H3N2, dan H1N2) tersebar ke seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, subjenis H1N1 merebak sejak 1998. Virus H3N2 mengandungi gen-gen daripada manusia (HA, NA, and PB1), swine (NS, NP, dan M), serta burung (PB2 Dan PA) .

Mereka yang bekerja dengan ternakan ayam dan babi terutama mereka yang terdedah secara langsung, berisiko dijangkiti dari haiwan tersebut sekiranya haiwan tersebut membawa jenis yang mampu menjangkiti manusia. SIV mampu bermutasi kepada bentuk yang membenarkannya menular dari manusia ke manusia. Jenis yang bertanggungjawab bagi wabak selsema babi 2009 dipercayai telah melalui proses mutasi ini.

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi virus babi itu dan belum jelas bagaimana virus selesema manusia sekarang ini dapat melindunginya. Saintis mengatakan ia penemuan sejenis virus baru dan ia boleh merebak daripada manusia kepada manusia.

Kehadiran virus ini memberikan ancaman baru kepada kebanyakkan negara, termasuklah Amerika yang gah dengan kuasanya. Amerika yang kini bergelut dengan masalah ekonomi pula diancaman dengan kehadiran Virus H1N1.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mengesahkan 62 kematian akibat virus H1N1 yang menggabungkan virus babi, burung dan manusia. Ia menyamai selesema biasa dengan demam, batuk, hidung berair dan lenguh anggota badan. Setakat ini tidak ada vaksin yang sesuai. Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan, menyatakan penularan virus di Amerika Utara amat serius dan berpotensi bertukar kepada wabak besar. Sekurang-kurangnya 81 kematian dilaporkan akibat pneumonia teruk yang disebabkan penyakit seperti selesema. Sebilangan yang mati dikesan mempunyai versi unik virus selesema A/H1N1, iaitu gabungan virus burung, babi dan manusia. 11 kes dikesan di California, Kansas dan Texas manakala 8 pelajar sekolah di New York City dijangkiti virus selesema dipercayai jenis yang sama.