Virus Selsema Babi atau Virus H1N1

Mei 7, 2009

Dunia digemparkan lagi dengan kehadiran satu lagi virus terbaru iaitu Virus H1N1 atau lebih dikenali dengan Virus Babi. Kalau kita sebut menggunakan nama Virus H1N1, ada sebilangan daripada kita tidak mengetahuinya, tapi semua orang pasti tahu Virus Babi.  Sebenarnya ia adalah sama.

Apa itu Virus H1N1 atau Virus Selsema Babi(Swine Flu)?

imej-virus-babi1 (Imej Virus Babi)

Selesema babi merujuk kepada influenza (demam selesema) yang disebabkan oleh mana-mana virus dalam keluarga Orthomyxoviridae, berasal dari wabak yang menjangkiti populasibabi . Pada babi, wabak ini sejenis penyakit berjangkit yang mengganggu sistem pernafasan babi dan berpunca daripada salah satu jenis virus selesema. Jenis virus ini dikenali sebagai virus influenza babi (swine influenza virus atau SIV). Kesemua jenis SIV yang diketahui dikelaskan sebagai virus influenza A  (biasa) atau virus influenza C (jarang). Sementara virus influenza B tidak pernah dilaporkan wujud pada babi. Kesemua tiga kled,  virus influenza A, B, dan C, boleh menjadi wabak pada manusia.

Bagaimana pula dengan tanda-tanda dan simptomnya?


Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease  Control and Prevention – CDC) di Amerika Syarikat, simptom selesema babi pada manusia menyerupai dengan influenza. Simptom ini termasuk demam, batuk, sakit kerongkong, sengal tubuh, sakit kepala, seram sejuk dan kelesuan. Beberapa pesakit lain turut melapurkan cirit-birit dan muntah.Dalam mendiagnosis simptom wabak ini tidak hanya perlu melihat kepada tanda atau simptom yang khusus bagi selesema babi tetapi juga sejarah terkini individu. Sebagai contoh, semasa wabak selesema babi 2009 di Amerika Syarikat, CDC menasihatkan doktor untuk “menjangka jangkitan influenza babi pada pesakit yang didiagnosis mempunyai penyakit pernafasan akut sama ada mempunyai hubungan dengan orang yang disahkan mengidap selesema babi, atau berada di dalam lima negeri Amerika Syarikat yang melaporkan kes selesema babi atau berada di Mexico dalam tempoh 7 hari sebelum permulaan penyakit mereka.” Diagnosis bagi pengesahan selesema babi memerlukan ujian makmal bagi contoh pernafasan (calitan hidung atau tekak mudah).

Selesema Babi adalah penyakit berbahaya kerana dibawa virus dan mudah berjangkit kepada orang ramai. Dalam tubuh babi terdapat tiga virus selesema A iaitu subjenis (H1N1, H3N2, dan H1N2) tersebar ke seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, subjenis H1N1 merebak sejak 1998. Virus H3N2 mengandungi gen-gen daripada manusia (HA, NA, and PB1), swine (NS, NP, dan M), serta burung (PB2 Dan PA) .

Mereka yang bekerja dengan ternakan ayam dan babi terutama mereka yang terdedah secara langsung, berisiko dijangkiti dari haiwan tersebut sekiranya haiwan tersebut membawa jenis yang mampu menjangkiti manusia. SIV mampu bermutasi kepada bentuk yang membenarkannya menular dari manusia ke manusia. Jenis yang bertanggungjawab bagi wabak selsema babi 2009 dipercayai telah melalui proses mutasi ini.

Sehingga kini belum ada vaksin khusus untuk melindungi virus babi itu dan belum jelas bagaimana virus selesema manusia sekarang ini dapat melindunginya. Saintis mengatakan ia penemuan sejenis virus baru dan ia boleh merebak daripada manusia kepada manusia.

Kehadiran virus ini memberikan ancaman baru kepada kebanyakkan negara, termasuklah Amerika yang gah dengan kuasanya. Amerika yang kini bergelut dengan masalah ekonomi pula diancaman dengan kehadiran Virus H1N1.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mengesahkan 62 kematian akibat virus H1N1 yang menggabungkan virus babi, burung dan manusia. Ia menyamai selesema biasa dengan demam, batuk, hidung berair dan lenguh anggota badan. Setakat ini tidak ada vaksin yang sesuai. Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan, menyatakan penularan virus di Amerika Utara amat serius dan berpotensi bertukar kepada wabak besar. Sekurang-kurangnya 81 kematian dilaporkan akibat pneumonia teruk yang disebabkan penyakit seperti selesema. Sebilangan yang mati dikesan mempunyai versi unik virus selesema A/H1N1, iaitu gabungan virus burung, babi dan manusia. 11 kes dikesan di California, Kansas dan Texas manakala 8 pelajar sekolah di New York City dijangkiti virus selesema dipercayai jenis yang sama.


Tip Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

Mei 5, 2009

buku

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN

Karangan ini merupakan salah satu daripada komponen Kertas Dua Bahasa Malaysia PMR; iaitu:

  • Bahagian B.
  • Satu soalan dikemukakan
  • WAJIB dijawab.
  • Panjang karangan tidak melebihi 120 patah kata
  • Masa dicadangkan ialah 25 minit
  • Markah diperuntukkan ialah 20 markah

Bahan-Bahan:

  • Gambar tunggal atau gambar bersiri
  • Gambar foto
  • Gambar rajah
  • Ilustrasi kartun
  • Pelan
  • Iklan
  • Poster
  • Graf
  • Jadual

Panduan Umum

  • Karangan ini ditulis dalam beberapa perenggan. Pelajar dicadangkan menulis satu perenggan pendahuluan, 3-4 perenggan isi dan satu perenggan penutup.
  • Anda digalakkan memberikan pendapat tentang bahan rangsangan yang diberikan berdasarkan arahan dalam tugasan soalan.
  • Minimum isi yang diperlukan ialah 3 isi.

Menganalisis Bahan Rangsangan yang diberi.

  • Baca dan fahami arahan soalan yang diberikan dengan teliti untuk mengenal pasti kehendak soalan.
  • Anda perlu meneliti tajuk yang disediakan bersama-sama dengan bahan rangsangan. Cuba kaitkan bahan tersebut dengan soalan yang diberikan.
  • Cuba dapatkan mesej utama daripada bahan tersebut.
  • Analisis anda hendaklah meliputi kata kunci soalan, skop tajuk dan kehendak soalan.

Merangka Karangan Anda

Karangan jenis ini terdiri daripada 3 komponen utama; iaitu:

  • Pendahuluan
  • Isi-isi penting
  • Penutup

a)Pendahuluan

  • Pendahuluan perlu ditulis dalam satu perenggan sahaja.
  • Kaitkan kehendak soalan dengan tahun bahan yang diberikan
  • Pendahuluan ditulis perlu memberikan gambaran umum tajuk bahan rangsangan
  • Menyatakan definisi atau konsep tentang perkara dalam bahan rangsangan atau soalan
  • Hendaklah menyentuk perkara yang hendak ditulis dalam bahagian isi
  • Dapat meyakinkan pembaca atau pemeriksa dengan karangan anda.

b)Perenggan Isi

  • Isi karangan hendaklah ditulis dalam beberapa perenggan
  • Dalam setiap perenggan perlu ada satu isi utama. Isi utama hendaklah dikembangkan dengan isi sampingan berserta contoh.
  • Isi setiap perenggan hendaklah mempunyai pertalian dengan isi dalam perenggan yang lain.
  • Anda perlu menggunakan penanda wacana yang sesuai untuk menghubungkan isi-isi atau perenggan-perenggan.

c)Perenggan Penutup

  • Bina kesimpulan atau rumusan berserta cadangan, pandangan dan sebagainya bagi keseluruhan isi atau perkara pokok soalan.
  • Anda harus membina kesimpulan yang menarik dan dapat meyakinkan pembaca atau pemeriksa.
  • Kesimpulan haaruslah membayangkan pendirian anda tentang tajuk bahan rangsangan.
  • Jangan ulang fakta-fakta yanganda telah nyatakan dalam perenggan isi.
  • Selain itu, jangan msukkan fakta baru dalam perenggan penutup.

Setelah selesai membina karangan, anda perlu menyemak karangan anda dari segi ejaan, tanda bacaan dan struktur ayatnya.Pastikan juga jumlah patah kata dalam lingkungan yang telah ditetapkan. Sila catat jumlah patah kata di dalam kurungan di sudut kanan baris terakhir karangan untuk rujukan pemeriksa. Anda digalakkan menyisipkan peribahasa atau ungkapan dalam karangan anda.

Sekian.


Model Karangan Surat Rasmi

Mei 5, 2009

Contoh Karangan:

Anda mempunyai cadangan untuk menarik minat murid-murid berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah. Tuliskan sepucuk surat kepada pengetua sekolah untuk menyatakan hasrat anda itu dengan menyatakan langkah-langkah yang sesuai bagi menyokong cadangan anda. Tulis surat tersebut selengkapnya.


Jessica Anak Alban,

Tingkatan 3 E,

Sekolah Menengah Kebangsaan Durin,

96000 Sibu,

Sarawak.

Pengetua,

Sekolah Menengah Kebangsaan Durin,

96000 Sibu.                                                                     1 APRIL 2009

Tuan,

Langkah-langkah untuk Menarik Minat Murid-murid Berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah

Saya merupakan seorang murid di Tingkatan 3 Teguh sekolah ini berhasrat untuk mengemukakan beberapa pandangan tentang cara-cara bagi menarik minat murid-murid agar gemar berkunjung ke pusat sumber sekolah.

2. Pusat sumber sekolah kita sepatutnya terletak di tempat yang mudah dikunjungi oleh murid-murid. Sebaik-baiknya pusat sumber terletak di bahagian bawah sesebuah bangunan. Bangunan tersebut perlu dicat dengan warna yang menarik dan dihiasi dengan lukisan mural yang sesuai di bahagian luarnya. Keceriaan fizikal sesebuah pusat sumber merupakan tarikan utama murid-murid untuk melihat isi dan peralatan di dalamnya.

3. Selain itu, guru yang bertugas di pusat sumber perlu menghebahkan perkembangan terkini buku-buku baru dan perkhidmatan yang disediakan kepada murid-murid. Hebahan tersebut dapat dibuat melalui radio sekolah atau saluran yang difikirkan sesuai. Melalui cara tersebut, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan di pusat sumber bagi membantu pembelajaran mereka.

4. Kepelbagaian bahan sumber maklumat di pusat sumber juga perlu  diberi perhatian. Bahan-bahan yang disdiakan harus merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan bersesuaian dengan mata pelajaran yang dipelajari oleh murid-murid. Bahan-bahan yang menarik itu perlu diperbanyak sebagai tarikan kepada murid-murid.

5. Sehubungan dengan itu, pembantu di pusat sumber juga perlu bersikap mesra pengguna. Sikap murni ini akan menjadi daya tarikan kepada murid-murid kerana mereka mudah mendapatkan bantuan jika memerlukannya. Oleh itu, pelantikan pembantu pusat sumber harus mengutamakan cirri-ciri yang murni.

Semoga semua cadangan saya mendapat perhatian daripada pihak tuan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Ridzuan

……………………………………………

(JESSICA ANAK ALBAN)


Tips Menghadapi Peperiksaan

Mei 5, 2009

Sebelum peperiksaan, pastikan anda telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Pastikan juga anda membuat ulangkaji dan membuat latihan yang mencukupi bagi menghadapi hari besar anda. Berikut adalah sebahagian tip bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM:

PERSEDIAAN FIZIKAL

a) Persediaan dari segi Kesihatan

Anda memerlukan kesihatan yang baik dan cergas ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke hari peperiksaan dijalankan.  Sebarang masalah kesihatan akan memberikan tekanan dan gangguan kepada emosi dan fokus anda. Bagi memastikan anda sentiasa berada dalam keadaan sihat dan fokus, cuba perkara yang berikut:

Tidur yang cukup. Tidur yang cukup ialah diantara 6 – 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan. Makan makanan yang bersih dan mengandungi zat yang seimbang. Elakkan dari makan makanan segera. Pastikan sebelum dan selepas makan, anda mencuci tangan.

Riadah dan Rekreasi. Jangan melakukan riadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

b)Persediaan dari segi Keselamatan

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.

PERSEDIAAN MENTAL

a) Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif.  Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan.  Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan.  Ini akan melemahkan semangat anda.  Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

“Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung”.

“Something is better than nothing”

Lakukan “Latihan Minda” setiap hari.

“If you can’t see it, you can’t have it”.

Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa.  Tangan diletakkan diatas peha.  Badan tidak bersandar.  Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam.  Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut.  Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri.  Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar.  Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu.  Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda.  Dimana iaberlaku?  Apa yang berlaku?  Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu.  Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda.  Dengar suara yang ada dengan jelas.  Rasakan apa perasaan anda ketika itu.  Rasakan keseronokan anda pernah dipuji.  Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan.  Biar terasa sedikit sakit.  Buka mata anda, dan pejam kembali.  Ulang langkah 2 – 4 beberapa kali. Gambarkan 8A dalam PMR (Gred 1 untuk SPM).  Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 – 15 minit setiap hari.  Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.

sekian.


Motivasi;Ketenangan membawa keseronokan.

Mei 4, 2009

Ketenangan membawa keseronokan.

Keseronokan belajar amat bergantung pada persekitaran terutamanya ketika berada di kelas. Keadaan yang bersih, kemas, tenang dan ceria mampu memberi keseronokan belajar. Manakala keadaan yang kotor, berselerak dan bising tidak dapat mewujudkan suasana belajar yang sempurna.

Berikut ialah beberapa cadangan tindakan yang perlu diambil agar murid-murid dapat mewujudkan suasana belajar yang tenang dan mampu memberi keseronokan belajar.

• Kebersihan: Kebersihan merangkumi keadaan fizikal seperti lantai, tingkap serta perabot.Tindakan harus diambil oleh murid-murid melalui jadual tugas harian agar bilik darjah sentiasa berada dalam keadaan bersih, tidak berhabuk dan bebas sampah. Kita tidak harus membiarkan keadaan ini diurus oleh pekerja sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warga sekolah untuk memastikan kebersihan dan keadaan bilik darjah sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.

• Kesihatan: Kesihatan murid mesti diutamakan. Hal ini akan terjamin jika bilik darjah sentiasa bersih. Oleh itu murid mestilah berada dalam keadaan yang bersih juga. Kotoran yang berada di luar janganlah sampai masuk ke bilik darjah. Bahan makanan dan minuman tidak sepatutnya dibuang di kelas kerana ia akan mendatangkan bau yang busuk, mencemar udara serta menjejas kesihatan pelajar. Air yang terdapat pada akuarium harus diganti agar ia tidak tercemar atau menjadi tempat nyamuk membiak.

• Kekemasan: Kekemasan ialah faktor yang penting dalam mewujudkan ketenangan dan keseronokan belajar. Pastikan kerusi dan meja disusun dengan rapi mengikut arahan guru. Bahan pembelajaran sama ada yang dilekatkan di papan pamer, digantung atau diletak di atas meja perlulah dalam keadaan yang kemas serta mengikut jenisnya. Hal ini memudahkan murid atau guru untuk mencari dan menggunakannya sebagai media pengajaran. Ada juga kelas yang dihias dengan cantik dengan menggunakan hiasan gambar, gubahan bunga atau anyaman tradisional. Tindakan ini adalah baik kerana ia mampu menjadi sumber inspirasi kepada murid. Walau bagaimanpun biarlah ianya kelihtan kemas dan jangan pula ada yang terkoyak, terkopak, terjuntai dan sebagainya sehingga menyakitkan mata memandangnya.

• Kreativiti: Segala susunan atau gubahan haruslah menggunakan kreativiti. Kreativiti dapat mencetuskan rasa ketenangan kepada kita. Kreativiti juga mampu menimbulkan rasa seronok berada di kelas serta dapat mengikuti pembelajaran dengan selesa. Justeru, faktor kebersihan, kesihatan, kekemasan dan kreativiti harus diberi perhatian dan dijadikan amalan untuk mewujudkan satu persekitaran belajar yang tenang dan menyeronokkan.

(petikan dari portal tutor utusan)


Selamat datang

Mei 4, 2009

Selamat datang ke blog murid pintar.

Blog ini untuk golongan pendidik dan pelajar berkongsi maklumat dan idea.

Semoga murid-murid mendapat manfaat daripada bahan-bahan yang disediakan.